Saya tiba di Zenxin Organic park sekitar pukul 10.30 pagi. Ia terletakberdekatan dengan Institut Pertanian Ayer Hitam dan terletak di sebelah kiri jalan sekiranya anda dari perjalanan dari Ayer Hitam ke Kluang.
Sebelum ke sana, saya melayari terlebih dahulu website mereka di http://www.zenxin.com.my/ untuk mengetahui terlebih dahulu apa yang saya boleh tahu supaya saya dapat bersiap sedia terutamanya bila waktu mereka mula beroperasi setiap hari.
Taman Organic ini di buka setiap hari dari pukul 8.30 pagi sehingga 6.30 petang. Bayaran masuk dan pembelian tiket boleh dilakukan di kaunter utama.
Bayaran masuk untuk dewasa : RM 10 seorang
Bayaran masuk untuk kanak-kanak : RM 8 seorang
Bayaran untuk sewa basikal : RM 12
Anda boleh bebas melakukan aktiviti sendiri melawat sekitar taman organik ini. Tetapi sekiranya anda mahukan lawatan bersama dengan pemandu pelancong, jadualnya adalah seperti berikut :
9.30 pagi / 11.30 pagi / 2.30 petang / 4.30 petang
Jangkamasa untuk lawatan bersama pemandu pelancong ini adalah sekitar 45 minit sehingga 60 minit.
Sebaik sahaja membuat pembayaran, anda akan diberikan sticker yang sangat comel untuk dilekatkan pada baju atau beg.
Apa yang saya rasakan menarik ialah tiket yang di beli boleh digunakan sepanjang hari tersebut. Ini bermaksud anda boleh keluar dan masuk menggunakan tiket yang sama untuk sepanjang hari tersebut.
Oh! Hampir terlupa pula. Pada hari tersebut, kami juga mendapat sesi percuma permainan archery.
Peta yang tertera ini hanya sebahagian kecil daripada Taman Organic Zenxin yang seluas 100 hektar ini. Peta ini menunjukkan hanya bahagian hadapan taman sahaja. Menurut kakitangan di kaunter tiket, belum ada lagi pelawat yang berjaya melawat seluruh taman (yang sangat luas) ini dalam masa satu hari.
Walaupun terdapat kemudahan sewaan basikal, saya memilih untuk berjalan sahaja memandangkan ia lebih mudah untuk bergerak dan mengambil gambar.
Bagi peminat kaktus, banyak pilihan di sini dari segi jenis dan juga saiznya. Harganya berdasarkan saiz diantara RM10 sehingga mencecah RM350 sepasu.
Seterusnya kami ke kawasan rumah hijau atau green house.
Kaedah yang digunakan ialah kaedah organik tanpa baja kimia dan racun perosak. Ada sesetengah sayuran yang ditanam bersebelahan untuk tujuan simbiosis di mana contohnya lobak ditanam bersebelahan bawang supaya bau dari tumbuhan yang satu lagi akan menghalau haiwan perosak bagi tumbuhan yang satu lagi. Ini dapat menurunkan peratus kerosakan pada sayuran lobak dan bawang.
Di taman herba pula, anda boleh lihat sendiri pelbagai jenis pokok herba dan kegunaannya dari segi tradisional. Rupa-rupanya banyak pokok hiasan di rumah saya merupakan pokok herba dan mempunyai banyak kegunaan. Kegunaan daripada demam,batuk, selsema sehinggalah kepada pendarahan semuanya diterangkan bersama-sama dengan cara bagaimana untuk digunakan.
Di sini juga ada ladang buah yang dipanggil Mulberry. Buahnya kecil saja dan rasanya memang masam. Saya memang tidak pernah langsung mendengar atau makan buah ini sebelum ini.
Jadi setelah pulang ke rumah, saya google di internet dan menemukan website ini http://www.nutrition-and-you.com/mulberries.html
Dikatakan Mulberry juga bagus untuk menurunkan berat badan dan sedap jika dicampurkan dengan salad dan kiwi.
Kami seterusnya ke viewing pavilion atau menara pemerhati. Dari sini kami dapat lihat sekeliling kawasan ladang yang luas terbentang. Bersebelahan kami ialah ladang durian.
Hujan masih turun sepanjang kami di sana tetapi nasib baik terdapat kawasan pejalan kaki berbumbung (beratap nipah jadi masih terasa rintik-rintik air hujan) disediakan.
Kami kemudian ke rumah cendawan. Hanya bahagian rumah cendawan yang menyimpan cendawan lama yang di buka pada hari itu. Saya tidak lama di dalam kerana takut kamera akan terkena kulat. Musim hujan yang lembap jadi harus berjaga-jaga.
Di sini juga terdapat kawasan haiwan kesayangan seperti itik, ayam dan arnab. Anda boleh masuk dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ini. Pengalaman yang sememangnya menarik untuk anak-anak anda jika berkunjung ke sini. Bukan sahaja mereka boleh belajar tetapi aktiviti begini menyeronokan dan dapat mengeratkan hubungan anda sekeluarga. Arnab-arnab di situ juga sangat friendly!!
Begitu juga di Happy Farm, anda boleh merasai sendiri bagaimana melakukan aktiviti berkebun secara organik.
Akhir sekali jika anda ingin merasai bagaimana Mulberry, bolehlah anda beli di Farm Mart bersebelahan dengan restoran. Di sini dijual sayur-sayuran dan buah-buahan organik mereka. Juga terdapat jualan barangan organik yang lain. Saya memang sejak dari dulu suka makan sayuran organik dari Zenxin Organic Farm, rasanya rangup dan segar tentunya lain dari sayuran dari ladang yang menggunakan baja kimia dan racun perosak. Sekarang di rumah, kami sekeluarga sudah mula menanam sayur-sayuran sendiri sejak enam bulan yang lalu, jadi kebanyakan sayur-sayuran kami adalah dari sumber organik. Rasanya memang sedap dan lain dari sayuran bukan organik.
No comments:
Post a Comment