Saturday 18 May 2013

Muzium Nelayan Tanjung Balau

Muzium Nelayan Tanjung Balau terletak bersebelahan dengan pantai Tanjung Balau dan Perkampungan Nelayan Tanjung Balau. 
Pintu masuknya agak tersorok sedikit dari kawasan tempat letak kereta utama. Anda boleh menjadikan perahu besar yang cantik terukir yang dapat anda lihat daripada jalan masuk ke pantai Tanjung Balau sebagai panduan anda. Bersebelahan dengan dua buah perahu itulah pintu masuk ke muzium ini.


Ketika kami tiba di sana sebahagian daripada kawasan muzium masih dalam proses baik pulih. Terdapat lebih kurang empat bahagian yang boleh dilawati oleh pengunjung.
Namun kebetulan ketika kami melawat muzium berkenaan terdapat sebuah pameran tambahan. Pameran Mistik tersebut berlangsung daripada 1 Mei sehingga 31 Julai 2013.
Di antara yang dipamerkan ialah Jenglot, Sanggul Bunian, Buluh perindu, Pedang Kiai Salleh dan duit dari alam bunian.
Bayaran yang dikenakan ialah RM 4 seorang.



Di bahagian atas berhampiran dengan aquarium ikan sebenarnya terdapat sebuah bekas kafeteria. Saya rakamkan dan kongsikan dengan anda lampu gantung yang saya rasakan agak artistik di bahagian tersebut.
Seterusnya kami ke bahagian muzium nelayan. Di sini diceritakan kaedah dan kemahiran nelayan dahulu serta pengetahuan yang mereka perlukan untuk belayar. Di antaranya ialah pengetahuan dalam melihat bintang serta apa maksud yang dibawa oleh keadaan bintang tersebut.
Juga diterangkan tentang amalan-amalan para nelayan dahulu kala sebelum turun ke laut.
 Di bawah ini ialah alat yang digunakan oleh para nelayan.
Sementara di bawah ini pula ialah alat yang dipasangkan pada perahu sebagai tempat untuk nelayan merehatkan diri.

Di hujung bahagian ini terdapat model contoh perkampungan nelayan pada zaman dahulu. Saya agak tertarik bukan sahaja kerana kecantikan pembuatannya tetapi ketelitian pada setiap aspek.
Perhatikan pada gambar di atas, "kucing" pada tingkap kedua dan bantal yang berjemuran di tingkap. Ia nampak realistik seperti keadaan perkampungan sebenar.
Seterusnya ialah model contoh rumah dan keadaan rumah nelayan pada zaman dahulu.

Dan yang terakhir sekali kami pergi ke bahagian yang mempamerkan tinggalan kapal yang akran pada tahun 1880-an di kawasan Desaru. Kapal dari China itu kemudian di gelar The Desaru Shipwreck.
Sebelum itu kami sempat juga singgah di bahagian yang mempamerkan perkapalan moden. Di sini juga di pamerkan model-model kapal yang terkenal sepanjang zaman diantaranya ialah kapal Titanic.
 

Friday 15 February 2013

Zenxin Organic Park

Sebenarnya sudah lama saya menyimpan keinginan untuk ke Zenxin Organic Park sejak tujuh tahun yang lalu. Disebabkan kekangan kerja dan tugasan lain, hasrat itu hanya tinggal hasrat.
Saya tiba di Zenxin Organic park sekitar pukul 10.30 pagi. Ia terletakberdekatan dengan Institut Pertanian Ayer Hitam dan terletak di sebelah kiri jalan sekiranya anda dari perjalanan dari Ayer Hitam ke Kluang.

Sebelum ke sana, saya melayari terlebih dahulu website mereka di http://www.zenxin.com.my/ untuk mengetahui terlebih dahulu apa yang saya boleh tahu supaya saya dapat bersiap sedia terutamanya bila waktu mereka mula beroperasi setiap hari.
Taman Organic ini di buka setiap hari dari pukul 8.30 pagi sehingga 6.30 petang. Bayaran masuk dan pembelian tiket boleh dilakukan di kaunter utama.

Bayaran masuk untuk dewasa : RM 10 seorang
Bayaran masuk untuk kanak-kanak : RM 8 seorang
Bayaran untuk sewa basikal : RM 12
Anda boleh bebas melakukan aktiviti sendiri melawat sekitar taman organik ini. Tetapi sekiranya anda mahukan lawatan bersama dengan pemandu pelancong, jadualnya adalah seperti berikut :
9.30 pagi / 11.30 pagi / 2.30 petang / 4.30 petang
Jangkamasa untuk lawatan bersama pemandu pelancong ini adalah sekitar 45 minit sehingga 60 minit.

Sebaik sahaja membuat pembayaran, anda akan diberikan sticker yang sangat comel untuk dilekatkan pada baju atau beg.

Apa yang saya rasakan menarik ialah tiket yang di beli boleh digunakan sepanjang hari tersebut. Ini bermaksud anda boleh keluar dan masuk menggunakan tiket yang sama untuk sepanjang hari tersebut.
Oh! Hampir terlupa pula. Pada hari tersebut, kami juga mendapat sesi percuma permainan archery.

Peta yang tertera ini hanya sebahagian kecil daripada Taman Organic Zenxin yang seluas 100 hektar ini. Peta ini menunjukkan hanya bahagian hadapan taman sahaja. Menurut kakitangan di kaunter tiket, belum ada lagi pelawat yang berjaya melawat seluruh taman (yang sangat luas)  ini dalam masa satu hari.

Walaupun terdapat kemudahan sewaan basikal, saya memilih untuk berjalan sahaja memandangkan ia lebih mudah untuk bergerak dan mengambil gambar.
Tempat pertama yang kami tuju ialah nursery yang terletak bersebelahan dengan bangunan utama.

 Bagi peminat kaktus, banyak pilihan di sini dari segi jenis dan juga saiznya. Harganya berdasarkan saiz diantara RM10 sehingga mencecah RM350 sepasu.



Seterusnya kami ke kawasan rumah hijau atau green house.

Kaedah yang digunakan ialah kaedah organik tanpa baja kimia dan racun perosak. Ada sesetengah sayuran yang ditanam bersebelahan untuk tujuan simbiosis di mana contohnya lobak ditanam bersebelahan bawang supaya bau dari tumbuhan yang satu lagi akan menghalau haiwan perosak bagi tumbuhan yang satu lagi. Ini dapat menurunkan peratus kerosakan pada sayuran lobak dan bawang.





Di taman herba pula, anda boleh lihat sendiri pelbagai jenis pokok herba dan kegunaannya dari segi tradisional. Rupa-rupanya banyak pokok hiasan di rumah saya merupakan pokok herba dan mempunyai banyak kegunaan. Kegunaan daripada demam,batuk, selsema sehinggalah kepada pendarahan semuanya diterangkan bersama-sama dengan cara bagaimana untuk digunakan.



Di sini juga ada ladang buah yang dipanggil Mulberry. Buahnya kecil saja dan rasanya memang masam. Saya memang tidak pernah langsung mendengar atau  makan buah ini sebelum ini. 
Jadi setelah pulang ke rumah, saya google di internet dan menemukan website ini http://www.nutrition-and-you.com/mulberries.html
Dikatakan Mulberry juga bagus untuk menurunkan berat badan dan sedap jika dicampurkan dengan salad dan kiwi.

Kami seterusnya ke viewing pavilion atau menara pemerhati. Dari sini kami dapat lihat sekeliling kawasan ladang yang luas terbentang. Bersebelahan kami ialah ladang durian.

Hujan masih turun sepanjang kami di sana tetapi nasib baik terdapat kawasan pejalan kaki berbumbung (beratap nipah jadi masih terasa rintik-rintik air hujan) disediakan.
Kami kemudian ke rumah cendawan. Hanya bahagian rumah cendawan yang menyimpan cendawan lama yang di buka pada hari itu. Saya tidak lama di dalam kerana takut kamera akan terkena kulat. Musim hujan yang lembap jadi harus berjaga-jaga.


Di sini juga terdapat kawasan haiwan kesayangan seperti itik, ayam dan arnab. Anda boleh masuk dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ini. Pengalaman yang sememangnya menarik untuk anak-anak anda jika berkunjung ke sini. Bukan sahaja mereka boleh belajar tetapi aktiviti begini menyeronokan dan dapat mengeratkan hubungan anda sekeluarga. Arnab-arnab di situ juga sangat friendly!!


Begitu juga di Happy Farm, anda boleh merasai sendiri bagaimana melakukan aktiviti berkebun secara organik.


Akhir sekali jika anda ingin merasai bagaimana Mulberry, bolehlah anda beli di Farm Mart bersebelahan dengan restoran. Di sini dijual sayur-sayuran dan buah-buahan organik mereka. Juga terdapat jualan barangan organik yang lain. Saya memang sejak dari dulu suka makan sayuran organik dari Zenxin Organic Farm, rasanya rangup dan segar tentunya lain dari sayuran dari ladang yang menggunakan baja kimia dan racun perosak. Sekarang di rumah, kami sekeluarga sudah mula menanam sayur-sayuran sendiri sejak enam bulan yang lalu, jadi kebanyakan sayur-sayuran kami adalah dari sumber organik. Rasanya memang sedap dan lain dari sayuran bukan organik.










Thursday 14 February 2013

Kawasan Rekreasi Gunung Berlumut

Kawasan Rekreasi Gunung Berlumut terletak di kawasan Ulu Dengar, berhampiran dengan Felda Kahang Timur. Perjalanan dari bandar Kluang mengambil masa 30 minit hingga 1 jam.
Perjalanannya mudah. Anda hanya perlu mengikut seperti yang ditunjukkan pada papan tanda arah.
Sampai di Felda Kahang Timur, anda hanya perlu terus sehingga ke Ulu Dengar. Seterusnya, ikutlah petunjuk arah yang menunjukkan jalan ke kawasan rekreasi.
Anda akan memasuki kawasan kampung dan seterusnya mengikut anak panah masuk ke kawasan kelapa sawit. Jalannya agak kecil dan berbengkak bengkok.

Anda akan melalui sungai-sungai kecil yang airnya kelihatan hijau dan bersih. Di sekeliling anda berdiri megah gunung-ganang yang masih hijau dan damai.



Kedua-dua gambar di atas di ambil dari dalam kereta sebab itu anda boleh lihat rintik-rintik hujan pada cermin kereta saya. Keadaan tidak mengizinkan untuk saya keluar mengambil gambar.
Ketika kami tiba di kawasan tersebut, hujan masih turun renyai-renyai dan kelihatan jelas kabus yang menyeliputi kawasan gunung.

Untuk pengetahuan anda, untuk masuk setiap pengunjung dikenakan bayaran RM 2 seorang bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak. Sementara bayaran tempat parking pula ialah RM2.
Terdapat surau untuk bersembahyang dan kedai yang menjual pelbagai makanan ringan.
Tandas dan bilik mandi juga disediakan tetapi anda perlu membayar RM0.50 untuk seorang.




Terdapat Taman Herba di sini yang nampaknya di jaga dengan baik tetapi ketika kami datang pintu untuk ke Taman Herba berkunci dan bermangga. Mungkin kerana keadaan hujan dan hari yang semakin petang.
Kami tidak pergi terlalu jauh kali ini kerana hujan yang masih turun renyai-renyai dan kumpulan beruk yang mula keluar untuk mencari makanan di kawasan rekreasi terbabit.



Dan sebagai peringatan, sama-samalah kita jaga kebersihan dan keindahan kawasan rekreasi ini. Jangan tinggalkan sisa dan sampah anda.


**
Berkongsi sedikit tentang makan tengahari kami sebelum ke Gunung Berlumut. Kami singgah di Warung Muhibbah yang terletak di hujung deretan warung di tepi jalan Kluang. Menariknya ialah roti canai sardinnya dicampur dengan cili padi. Memang ada oomph!!
Belum pernah lagi rasanya makan roti canai pedas tapi kali ini memang terasa kepedasannya.
Roti canai kosong juga rangup dan enak walaupun di makan begitu sahaja. Tidak hairanlah mengapa ramai pengunjungnya.
Dan satu lagi yang paling menarik ialah nama warung dan pelanggannya.
Saya kongsikan satu gambar di sini. Warung Muhibah ini mempunyai pelanggan dari pelbagai kaum - india, cina dan melayu. Memang nampak muhibah.

P/S : Maaf ya, gambar tidak berapa jelas sebab kelam kabut hujan turun semakin lebat.

Kubu Jepun di jalan Kota Tinggi - Mersing

Di sini saya ingin kongsikan dengan anda tentang struktur yang dikatakan kubu di zaman jepun yang boleh dilihat di kiri kanan jalan Kota Tinggi- Mersing. Dikatakan terdapat kesan tembakan yang jelas di bahagian kubu tersebut yang menunjukkan bahawa memang benar berlaku pertempuran yang hebat di situ.
Terdapat lima buah kubu yang terletak di kiri dan kanan jalan raya dan menurut sumber yang ada dikatakan terdapat banyak lagi kubu seperti itu terdapat di dalam kawasan hutan.
Saya sempat turun dan mengambil gambar salah satu daripada kubu tersebut. Namun disebabkan hujan yang semakin lebat, saya tidak sempat meninjau lebih rapat ataupun meninjau kubu-kubu lain.


Walaubagaimanapun anda diharapkan berhati-hati ketika meninjau keadaan kubu ini kerana dikatakan ia agak 'keras' sedikit. Mungkin kerana ia terlalu lama terbiar atau kerana banyak kematian dan kecederaan yang berlaku di sekelilingnya.
Jika anda lihat di setiap kubu , diletakkan penanda amaran supaya ia senang dilihat terutamanya pada sebelah malam. Menurut sesetengah sumber, ia diletakkan kerana terdapat banyak kemalangan yang berlaku  dikawasan terbabit.
Mungkin juga disebabkan kedudukannya yang terlalu dekat dengan bahu jalan, strukturnya yang gelap dan jalan yang tidak mempunyai lampu jalan.