Sunday 10 February 2013

Deretan kedai kain di bandar Kota Tinggi

Sebenarnya tak sangka rupa-rupanya ada tempat shopping kain, baju dan tudung di Kota Tinggi. Tak ubah macam berada di Kelantan atau Jalan Masjid India. Tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar Kota Tinggi tetapi dek kerana projek ini, akhirnya sampai juga saya ke bandar Kota Tinggi untuk pertama kalinya.
Kedudukan tempat yang dicari ini tidak jauh dari terminal bas Kota Tinggi. Sekiranya anda berada di jalan utama, anda boleh masuk ke bahagian tepi kompleks membeli belah Kota Tinggi, jalan terus sehingga anda nampak restoran McDonalds. Ia terletak di bahagian belakangnya.

Hari kami pergi merupakan hari Isnin waktu hari bekerja, jadi memang kawasan itu agak sunyi. Jadi apa yang seronok ialah dapat tawar menawar dengan harga yang lebih murah berbanding daripada waktu orang berpusu-pusu. Emak saya senyum sampai ke telinga.

Di antara yang terdapat di sini ialah kain untuk baju kurung dan baju melayu, baju kurung siap (moden dan tradisional), baju kedah (harganya sekitar RM 6 sehelai), T-shirt (tak banyak pilihan) , telekung, sejadah, kain batik, kain pelikat dan aneka tudung.
Memang beraneka jenis tudung yang ada sampaikan boleh pening memilih.
Tapi bagi peminat tudung bawal macam saya, tidak terlalu banyak pilihan di sini. Cuma yang menariknya ialah coraknya cantik dan harga yang senang untuk dirunding.
Jika anda penat membeli belah dan tiba masa untuk menunaikan solat, ada surau yang berdekatan.

Oh!! Jangan lupa ya. Jika anda pergi pada hari bekerja, jangan lupa untuk meletakkan tiket parking pada kereta anda. Anda boleh beli di kedai cermin mata yang terletak di lorong bersebelahan kedai kain dan berhadapan dengan kedai makan.
Boleh dikatakan petugas majlis daerah di sana aktif memeriksa kawasan parking.
Selamat membeli belah!!

No comments:

Post a Comment